Pengertian Wakaf
Contoh amalan wakaf adalah seperti seseorang mewakafkan tanah seluas seekar yang dimilikinya untuk dibina masjid di atasnya bagi kegunaan orang ramai beribadah dan menjalankan aktiviti keagamaan. Wakaf boleh dilaksanakan dengan harta yang berbentuk kekal seperti tanah, bangunan, rumah dan juga wang tunai.
Sejarah Wakaf
Perintis amalan wakaf dalam Islam adalah dipraktikkan oleh Baginda Rasullullah S.A.W apabila Baginda membina masjid Quba’ yang dibina di atas tanah yang diwakafkannya ketika penghijrahan Baginda dan para sahabat ke Madinah. Begitu juga dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah yang juga dibina dengan sumber wakaf. Amalan wakaf telah hidup subur dan diteruskan oleh para sahabat dan tabiin yang banyak mewakafkan harta untuk kepentingan dan pengembangan syiar Islam ketika itu.
Ringkasnya semangat dan keyakinan masyarakat Arab ketika itu terhadap mekanisme wakaf dalam membantu membangunkan syiar Islam amat menggalakkan dan sesetengah kenyataan menyatakan bahawa telah menjadi tradisi masyarakat Arab akan mewakafkan 1/3 hartanya sebelum meninggal dunia.
Fakta sejarah telah menyatakan bahawa 3/4 daripada keluasan tanah Arab merupakan tanah wakaf. Model institusi wakaf yang paling berjaya adalah wakaf Al-Azhar di Negara Mesir di mana ianya dikendalikan oleh sebuah kementerian khas yang dinamakan Kementerian Wakaf.
Wakaf Al-Azhar dipercayai mempunyai aset yang banyak sehingga ia mampu membiayai pelbagai program untuk pembangunan masyarakat Islam di Mesir seperti sekolah, hospital, universiti dan sebagainya. universiti Al-Azhar adalah satu institusi pendidikan Islam yang dibiayai sepenuhnya melalui sumber wakaf yang mempunyai puluhan ribu pelajar dari seluruh dunia.
Abu Hurairah (R.A) berkata, Rasulullah (s.a.w) bersabda dengan mafhumnya:
“Amal soleh yang akan sampai kepada orang yang beriman selepas kematiannya ialah ilmu yang dipelajari kemudian dikembangkannya, anak yang soleh, naskhah al-Quran yang ditinggalkannya sebagai pusaka, bangunan masjid yang didirikan olehnya, rumah (wakaf) yang dibina untuk para musafir, terusan yang digalinya atau sedekah yang diberi semasa hidupnya ketika dia masih sihat. Amal soleh ini akan sampai kepadanya selepas kematiannya.”
Pengertian wakaf dengan kata mudahnya ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah SWT.
Wakaf antara amalan yang mendapat pahala berterusan kerana masih memberi manfaat kepada orang lain walaupun seseorang itu telah meninggal dunia. Inilah antara tujuh kebaikan wakaf…
1. Melatih Individu Untuk Memiliki Jiwa Sosial Yang Tinggi
Dengan amalan wakaf, secara tidak langsung ia melatih jiwa individu yang sanggup berkongsikan harta benda kepada pihak yang tidak mampu.
2. Membantu Golongan Yang Susah
Contohnya jika ada individu mewakafkan tanah untuk digunakan oleh fakir miskin secara tidak langsung golongan tersebut tidak perlu bersusah payah untuk memikirkan tentang tempat tinggal.
3. Menyedarkan Manusia Tiada Harta Benda Yang Kekal
Harta yang dimiliki oleh manusia bukan lah hak mereka sepenuhnya. Kadang dalam harta yang dimiliki itu harus dikongsikan bersama orang lain.
4. Amalan Wakaf Tidak Terputus
Amalan wakaf tidak akan terputus meskipun anda sudah meninggal dunia dan ia menjaminkan pahala di dunia dan di akhirat.
5. Membantu Masyarakat
Membantu masyarakat untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Wakaf boleh digunakan untuk mendirikan fasiliti untuk kegunaan semua orang.
6. Menjanjikan Keharmornian
Wakaf menjanjikan kehidupan secara aman damai antara golongan kaya dan golongan miskin.
7. Mendorong Pembangunan Ilmu
Wakaf membantu untuk meningkatkan pembangunan ilmu dalam bidang tertentu. Wakaf banyak digunakan dalam jangka waktu yang panjang seperti sekolah, yayasan pendidikan dan fasiliti yang lain